Photo galery
Program Kelestarian UTeM Bersama AEON Ayer Keroh
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuh agenda kelestarian melalui program kolaborasi strategik bersama AEON Ayer Keroh yang memberi fokus kepada amalan hijau, teknologi hijau dan ekonomi kitaran. Program ini melibatkan pelajar kursus kokurikulum BKKM1911 – Kelestarian Amalan Hijau dan BKKM1931 – Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, sekali gus memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan kelestarian melalui aktiviti secara praktikal bersama komuniti.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah penghasilan lilin daripada minyak masak terpakai, yang memperkenalkan konsep upcycling dengan menukarkan bahan buangan kepada produk kreatif dan bernilai. Pelajar turut terlibat dalam aktiviti pemprosesan plastik HDPE terpakai menjadi cenderamata dan alat permainan, sekali gus menunjukkan potensi sisa plastik sebagai sumber baharu dalam menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran.
Melalui program ini, pelajar bukan sahaja mempelajari konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle), upcycling dan ekonomi kitaran, malah berperanan sebagai agen perubahan dalam menyampaikan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sisa dan penggunaan sumber secara bertanggungjawab kepada masyarakat. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini turut membantu membentuk kemahiran komunikasi, kreativiti, kerja berpasukan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar.
Kolaborasi antara UTeM dan AEON Ayer Keroh membuktikan bahawa kerjasama antara universiti, industri dan komuniti mampu memperluas impak pendidikan kelestarian daripada kampus kepada masyarakat. Inisiatif ini menyokong SDG 4 – Quality Education, SDG 12 – Responsible Consumption and Production serta SDG 17 – Partnerships for the Goals, di samping memperkukuh komitmen UTeM dalam membudayakan amalan hijau dan melahirkan graduan yang mempunyai kesedaran serta tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.


30 Pelajar Budi Penyayang UTeM Jayakan “Operasi Bebas MBMB”
Semarak semangat kesukarelawanan, kebersihan dan kelestarian alam bersama komuniti
MELAKA, 10 Januari 2026 – Semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial terus disemarakkan apabila seramai 30 pelajar kursus BKKM1561 – Budi Penyayang bersama seorang pensyarah pengiring menyertai Program Sukarelawan Gotong Royong “Operasi Bebas MBMB” di Taman Kota Laksamana SS2, di sini.
Program anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu memberi peluang kepada para pelajar untuk berganding bahu bersama komuniti setempat dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan kondusif.
Antara pengisian utama program ialah Operasi Cari & Musnah Bekas Pembiakan Nyamuk, Trash to Cash dan Senamrobik Komuniti.
Menerusi Operasi Cari & Musnah Bekas Pembiakan Nyamuk, para pelajar bersama komuniti menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi mengenal pasti lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Mereka turut menerima bimbingan daripada pegawai kesihatan mengenai kaedah mengenal pasti dan memusnahkan bekas pembiakan dengan cara yang betul.
Sementara itu, aktiviti Trash to Cash memberi pendedahan kepada pelajar mengenai nilai bahan kitar semula apabila mereka mengumpulkan bahan terpakai seperti plastik, kertas, tin aluminium dan botol untuk ditukar kepada nilai tunai. Aktiviti ini turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal secara sistematik serta usaha mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
Program turut dimeriahkan dengan Senamrobik Komuniti yang melibatkan pelajar, penduduk setempat dan sukarelawan. Selain menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti tersebut turut mewujudkan suasana yang lebih ceria serta mengeratkan hubungan antara pelajar dengan masyarakat setempat.
Lebih daripada sekadar aktiviti gotong royong, program berkenaan menjadi platform pembentukan sahsiah pelajar apabila mereka berpeluang menghayati nilai empati, tanggungjawab sosial, kerja berpasukan dan kerjasama. Penglibatan secara langsung dalam aktiviti komuniti turut membantu pelajar memahami kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.
Secara keseluruhannya, Program Sukarelawan Gotong Royong “Operasi Bebas MBMB” berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Selain menyumbang kepada kebersihan persekitaran, program ini berjaya membentuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan tanggungjawab sosial, pengurusan sisa pepejal dan kelestarian alam sekitar.
Program sebegini membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah menjadi medium penting dalam melahirkan generasi pelajar yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.



Lawatan akademik ke PETRONAS Sepang International Circuit (SIC)







Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pusat Pembelajaran Bahasa 1446H



MAJLIS HI - TEA


KARNIVAL BAHASA


- Hits: 2504